Thursday, 1 December 2011

Barcelona bangkit berpesta gol

                                           Alexis Sanchez 

MADRID - Jaringan berganda Alexis Sanchez membantu Barcelona membelasah pendatang baru, Rayo Vallecano 4-0 di Nou Camp semalam, sekali gus melupakan kekalahan mengejut 0-1 kepada Getafe hujung minggu lalu,
Pemain sayap Chile itu memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-29 dan menggandakan kedudukan pada minit ke-41 sebelum David Villa menjadikan 3-0 sebelum masuk waktu rehat.
Babak kedua bersambung, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol keempat menerusi Lionel Messi yang mengutip gol peribadi ke-16 liga musim ini.
Perlawanan semalam dibawa ke depan bagi memberi laluan kepada penyertaan Barca dalam saingan Piala Dunia Kelab di Jepun bulan depan.
Tiga mata berharga itu membolehkan penyandang juara mengumpul 31 mata selepas 14 perlawanan dan mengekori rapat pendahulu, Real Madrid dengan hanya tiga mata di belakang.
"Alexis bukan sekadar penyerang, dia juga banyak melaksanakan tugas membantu pasukan," kata jurulatih Barca, Pep Guardiola kepada pemberita.
"Dia mengalami kecederaan (hamstring yang memaksa dia direhatkan selama dua bulan) dan dia menerima kesan mendalam daripadanya.
"Kamu boleh lihat dia sudah mengatasi segala masalah yang membelenggu prestasinya sebelum ini. Saya ingin ucapkan tahniah kepadanya."
Alexis, pemain yang dibeli Barca dari Udinese dengan yuran perpindahan 38 juta euro (RM160.2 juta), meredakan tekanan pasukannya dengan gerakan individu apabila dia melepaskan rembatan melencong yang terus menembusi penjuru gawang.
Dia kemudiannya cemerlang lagi menyudahkan bola yang terlepas dari dakapan penjaga gol untuk jaringan kedua sebelum Gerrard Pique meluru keluar dari pertahanan dan memulakan gerakan serangan yang berakhir dengan Villa meledak gol ketiga.
Pemain Terbaik Dunia, Messi melengkapkan kemenangan 4-0 pada minit ke-49 untuk melebarkan rekod tanpa bolos di laman sendiri kepada 11 perlawanan, iaitu sejak April lalu. - REUTERS

0 comments:

Post a Comment